TURIN – Rentak Juventus tidak terjejas walaupun kehilangan dua pemain dalam babak pertama kerana masalah kecederaan apabila masih berjaya menewaskan Sassuolo 3-1 pada aksi Serie A di Stadium Allianz awal pagi semalam.
The Old Lady terpaksa mengeluarkan Weston McKennie dengan membawa masuk Aaron Ramsey seawal minit ke-19 sebelum nasib sama dialami Paulo Dybala yang digantikan oleh Dejan Kulusevski dua minit sebelum tamat aksi babak pertama.
“Dybala mengalami sedikit masalah di bahagian ligamen lututnya. McKennie pula sejak kelmarin lagi mengalami ketidakselesaan otot dan hari ini (awal pagi semalam) dia merasainya di bahagian tumit kaki.
“Kami mengambil langkah berhati-hati dan enggan memperjudikan nasib mereka berdua. Saya harap tahap kecederaan mereka tidak serius dan boleh kembali berlatih dalam tempoh sehari dua lagi,” kata Pirlo.
Tuah seakan-akan menyebelahi Juventus apabila Sassuolo terpaksa bermain dengan 10 pemain sepanjang babak kedua selepas Pedro Obiang dilayangkan kad merah kerana terjahan keras ke atas Federico Chisea pada hujung separuh masa pertama.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan meledak tiga gol menerusi Danilo pada minit ke-51, Ramsey (m-82) dan Cristiano Ronaldo (m92) walaupun Sassuolo berjaya meraih jaringan sagu hati melalui Gregoire Defrel (m-58).
Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut Juventus dalam saingan Serie A sejak tewas 0-3 kepada Fiorentina.
Kemenangan itu melonjakkan mereka ke tangga keempat Serie A, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, AC Milan tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan.
– AGENSI