KLUANG – Jalan Kota Tinggi – Kluang ditutup sepenuhnya bagi memberi laluan kepada kerja pemantauan dan pembersihan susulan kejadian gelongsoran tanah berhampiran Taman Sri Impian di sini malam semalam.
Jurutera JKR Daerah Kluang, Ir Aidi Mohd. Salleh berkata, susulan kejadian pada pukul 8.30 malam itu, laluan trafik dari dan ke arah Kota Tinggi di jalan itu dilencongkan melalui Taman Seri Impian.
“Gelongsoran tanah sepanjang kira-kira 100 meter dengan ketinggian lebih 200 meter manakala jalan yang terlibat pula adalah sejauh 200 meter.
“Kerja-kerja pembersihan sedang giat dilakukan dan dijangka memerlukan masa kira-kira seminggu kerana bimbang gelonsoran baharu mungkin berlaku jika hujan berterusan.
“Oleh yang demikian, orang ramai disarankan untuk mematuhi sebarang arahan daripada pihak yang bertugas di lapangan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku,”katanya.
Menurut Aidi, selain jalan itu, pengguna juga boleh menggunakan Jalan Padang Tembak atau Jalan Mengkibol untuk Kota Tinggi serta kawasan penempatan yang berada di sepanjang laluan berkenaan. – K! ONLINE