KOTA BHARU – Empat sekatan jalan raya (SJR) akan dijalankan di sempadan masuk ke negeri Kelantan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa tengah malam ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, SJR itu akan dijalankan di hadapan Balai Polis Bukit Yong di Pasir Puteh dua di Gua Musang iaitu menghala ke Lojing serta Kuala Lipis dan Jeli.
Katanya, keempat-empat SJR itu merupakan lokasi wajib untuk pihak polis menjalankan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB pada tahun lalu.
Jelasnya, sehubungan dengan itu, seramai 75 pegawai dan anggota akan ditempatkan di empat SJR di tiga daerah untuk memastikan tiada individu yang melakukan rentas negeri tanpa kebenaran.
“Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut akan membantu pihak polis untuk tiga giliran penugasan dalam tempoh 24 jam.
“Mulai malam ini, kita tidak akan membenarkan penduduk di Kelantan merentas negeri kecuali mempunyai alasan yang kukuh. Selain itu, polis akan memberi mempertimbangkan jika individu yang hendak merentas negeri dengan menunjukkan dokumen yang lengkap.
“Sekiranya sudah membuat temu janji dengan doktor pakar, mereka boleh menunjukkan laporan doktor kepada pihak polis yang bertugas di setiap SJR,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Bilik Gerakan Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, beliau turut menasihatkan orang ramai agar duduk di rumah sepanjang dua minggu tempoh PKPB dilaksanakan.-K! ONLINE