fbpx

Empat beranak didenda RM12,000 kerana merusuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat beranak bersama-sama tiga lagi tertuduh yang didapati bersalah merusuh seorang koperal diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, hari ini.

ALOR GAJAH – Empat beranak didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan rusuhan dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota polis pada Jumaat lalu.

Majistret Nurhasmanita Abdul Manap menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md. Yusof Husin, 59, dan tiga anak lelakinya, Muhammad Sabeerin Md. Yusof, 29, Muhammad Zahir Md. Yusof, 27, dan Muhammad Al Nijam Md Yusof, 20.

Dalam prosiding sama, turut didapati bersalah dan didenda RM3,000 setiap seorang adalah tiga tertuduh lain iaitu Mohd Aidel Md Yusop, 31, Muhammad Noor Azroy Md Sharif, 28, dan Muhammad Rozaimi Hasim, 28.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati telah melakukan rusuhan dalam mencapai niat bersama dan mendatangkan kecederaan kepada seorang anggota polis berjawatan koperal.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 8.10 malam di tepi jalan besar, Simpang Tiga Ayer Pasir, Machap Baru di sini pada 8 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh telah menyerang seorang lelaki India yang mabuk dengan salah seorang daripada mereka bertindak menamparnya.

Anggota polis berkenaan kemudian datang untuk meleraikan pergaduhan, namun telah dimaki dengan kata-kata kesat ‘pukimak polis dan polis bodoh,’ dan salah seorang tertuduh telah menumbuk penguat kuasa itu di bahagian muka dan menendang berkali-kali sehingga mangsa cedera.

Dalam pada itu, lima daripada tertuduh iaitu Mohd. Aidel, Muhammad Sabireen, Muhammad Al Nijam, Muhammad Noor Azroy dan Muhammad Zahir turut didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis berkenaan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun hanya Mohd. Aidel dan Muhammad Sabireen yang mengaku bersalah.

Beliau turut membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 untuk tiga tertuduh yang lain sebelum menetapkan tarikh 19 Februari depan bagi sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI