fbpx

Elfira Loy cadang tiada penggambaran sewaktu PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Elfira Loy

PETALING JAYA – Pelakon Elfira Loy mencadangkan sesi penggambaran ditangguh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diputuskan kerajaan bermula esok.

Dalam InstaStory miliknya, Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 27, mengulang siar sebuah laporan berita mengenai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) penggambaran bagi sektor industri kreatif.

“Pada pendapat saya, segala aktiviti penggambaran perlu ditangguh.

“Hal ini kerana, kru produksi boleh mematuhi SOP, tetapi tidak bagi pelakon. Berlakon mana ada pakai pelitup muka,” tulisnya dalam perkongsian tersebut.

Elfira yang pernah popular menerusi drama Qalesya turut memahami kesusahan yang dialami kru produksi apabila penggambaran ditangguhkan.

“Saya memahami keadaan kru yang terkesan apabila penggambaran dihentikan. Tetapi, ini adalah cara terbaik bagi semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Finas menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini memutuskan segala aktiviti penggambaran di kawasan PKP adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, keputusan tersebut terpakai bagi enam buah negeri yang dikenakan PKP termasuk Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

“Finas juga mengambil maklum siaran akhbar Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali yang telah memperincikan senarai sektor ekonomi perlu (essential economic sector) yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP di enam negeri yang dikenakan PKP.

“Walaubagaimanapun, sektor industri kreatif tidak tersenarai sebagai sektor ekonomi yang dibenarkan dalam tempoh PKP buat masa ini.

“Sehubungan itu, Finas ingin memaklumkan kepada semua syarikat produksi bahawa aktiviti penggambaran adalah tidak dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP,” tulis kenyataan tersebut.

Bagaimanapun tambah Zakaria, aktiviti penggambaran tetap boleh diteruskan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dengan syarat perlu mematuhi segala garis panduan dan SOP yang digariskan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Segala maklumat lanjut dan perkembangan terkini akan dihebahkan menerusi medium hebahan media dan laman sesawang Finas di www.finas.gov.my serta media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter @FINASMalaysia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI