SHAH ALAM – Sebuah syarikat pengumpulan barangan lusuh logam didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan gagal mengawal pencemaran habuk dan mematuhi notis maklum balas berhubung perkara itu, tahun lalu.
Hakim Rofiah Mohamad memutuskan demikian selepas syarikat Lennor Metal Sdn. Bhd. selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili Ng Yong Seng, 28, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Rofiah dalam penghakimannya menegaskan tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah berdasarkan aduan orang awam dan lokasi itu berdekatan sebuah sekolah memandu.
“Keadaan itu jelas memberi kesan kepada masyarakat dan perlu dijadikan pengajaran supaya tidak mencemarkan alam sekitar serta mematuhi arahan lanjut pihak berkuasa,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal memastikan langkah kawalan pencemaran habuk dilakukan sewajarnya ketika pengendalian di premis tersebut di Jalan Ladang Datuk Harun, Seksyen 36 di sini, kira-kira pukul 11.15 pagi pada 5 Ogos tahun lalu.
Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali dan denda tambahan RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas penyampaian notis mengikut Seksyen Seksyen 31(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum Seksyen 3 (3) akta sama.
Lennor Metal turut didakwa sekali lagi gagal mematuhi maklum balas dalam bentuk laporan bertulis, dokumen dan gambar berhubung tindakan yang diambil di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Justeru, didakwa mengikut Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan boleh dihukum Seksyen 37 (2) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM2,000 dan penjara tidak lebih enam bukan dan kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, dalam prosiding itu, Pegawai Pendakwa JAS Selangor, Nor Faizura Mohd. Ali memohon hukuman setimpal kerana kegagalan OKS mematuhi notis arahan pematuhan bagi mengawal pencemaran itu.
Bagaimanapun, Yong Seng tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana kesalahan pertama dengan terpaksa menanggung kos operasi tinggi sejak musim pandemik Covid-19 pada tahun lalu.
OKS membayar semua denda itu. -K! ONLINE