LONDON – Seorang jururawat yang tinggal berasingan di dalam sebuah karavan selama sembilan bulan bagi melindungi ibunya daripada terkena jangkitan koronavirus akhirnya kembali ke rumah mereka bulan lalu selepas warga emas tersebut mendapat suntikan vaksin Covid-19, lapor akhbar Daily Mail.
Jururawat Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan(NHS), Sarah Link dan suaminya, Gary (gambar kecil) tinggal di dalam karavan yang diparkir di laluan masuk rumah mereka di Cradley, England.
Mereka yang tinggal dalam karavan itu sejak Mac tahun lalu, berbuat demikian untuk melindungi ibu Sarah yang berumur 84 tahun daripada jangkitan virus Covid-19.
SARAH bersama suaminya, Gary.- FACEBOOK
Pasangan itu membeli karavan berharga £600 (RM3,300) pada Mac 2020 semasa pandemik Covid-19 meletus sebagai langkah penyelesaian awal.
Sarah berkhidmat 17 tahun di Hospital Ratu Elizabeth di Birmingham, manakala Gary mengusahakan perniagaan menjual ikan.
‘Kami pada mulanya menjangka akan tinggal di dalam karavan ini selama empat minggu atau maksimum 12 minggu. Masa berlalu dan selepas sembilan bulan, kami masih di sini,” katanya kepada Badan Penyiaran Britain (BBC).
Suami isteri itu disahkan positif koronavirus pada Disember tahun lalu tetapi mereka dapat menjalani kuarantin dengan adanya karavan tersebut.
Mereka juga menghiasi kenderaan itu untuk sambutan Hari Krismas dan Halloween bersama logo besar NHS.
Sarah mengaku dia menangis kerana pelbagai kesulitan hidup dalam karavan itu tetapi sanggup berbuat demikian bagi melindungi ibunya. – Agensi