LONDON – Pengurus Chelsea, Frank Lampard masih belum berpuas hati dengan prestasi pasukannya biarpun menang 4-0 ke atas Morecambe pada pusingan ketiga Piala FA di Stamford Bridge malam kelmarin.
Beliau menyifatkan jentera serangan The Blues masih belum mantap dan tidak memiliki naluri ‘membunuh’ yang sebenar apabila gagal mencipta kemenangan lebih besar ke atas pasukan seperti Morecambe.
Bagaimanapun, perlawanan itu tetap positif apabila menyaksikan Timo Werner dan Kai Havertz menamatkan kemarau jaringan apabila masing-masing menjaringkan satu gol, sementara dua gol lagi dijaringkan Mason Mount dan Callum Hudson-Odoi.
“Kalau boleh, saya mahu pemain-pemain cuba menampilkan aksi lebih konsisten serta tunjukkan naluri ‘pembunuh’ seperti pemain-pemain lain dalam saingan liga.
“Saya harap semua orang faham apa yang dimaksudkan. Kami memiliki ramai pemain muda yang berpotensi besar untuk menjadi salah seorang pemain terbaik,” kata legenda Chelsea itu.
Tambah Lampard, beliau mahu pemain-pemainnya mencabar diri masing-masing untuk menjadikan jaringan gol sebagai rutin mingguan mereka apabila turun dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
“Pemain-pemain terbaik dalam liga perdana sentiasa menjaringkan gol setiap minggu dan pada usia 27 atau 28 tahun, mereka sudah berada pada kemuncak prestasi. Itulah yang saya harapkan daripada semua pemain kami untuk menjadi seperti itu,” ujarnya. – AGENSI