JOHOR BAHRU – Selaku sebuah universiti awam yang cakna dengan permasalahan dihadapi masyarakat setempat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menghantar kakitangan dan penuntut untuk sama-sama membantu operasi pembersihan pasca banjir.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, Misi Pasca Banjir Kota Tinggi itu turut melibatkan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) lain antaranya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut kenyataan itu, misi tersebut disertai seramai 40 mahasiswa dan kakitangan UTM, 40 mahasiswa dan kakitangan UPSI dan 20 mahasiswa serta kakitangan daripada beberapa IPT berlainan.
“Delegasi seramai 100 orang mahasiswa dan kakitangan tersebut telah digerakkan ke empat kampung yang terkesan di daerah Kota Tinggi.
“Pecahannya melibatkan seramai 40 orang di Kampung Mawai dan Kampung Jambi, manakala 60 yang lain telah ke Kampung Perpat dan Kampung Gembut,” menurut kenyataan itu.
Misi yang digerakkan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi di kawasan Parlimen Kota Tinggi.-K! ONLINE