ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah memberi jaminan barang keperluan di negeri ini mencukupi berdasarkan pemeriksaan ke atas 180 peruncit dan 81 pemborong terpilih sejak semalam.
Sehubungan itu, Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.
“Kita ingin tegaskan bahawa semua barang keperluan untuk Kedah adalah mencukupi dan tidak perlu pembelian panik walaupun PKP dilaksanakan.
“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan tentang pembelian panik,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat pemborong barang makanan dan keperluan di Jalan Gangsa di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya mendapati bekalan mencukupi terutama untuk barang asas seperti gula sebanyak 832 metrik tan, minyak masak (392 metrik tan), tepung gandum (456 metrik tan) dan gas petroleum cair (46,869 tong).
“Bekalan tersebut mencukupi bagi tempoh dua minggu untuk memenuhi keperluan penduduk negeri ini,” ujarnya. – K! ONLINE