KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa surat pindahan wang berjumlah RM150 juta bagi pelaburan Public Mutual telah ditandatangani oleh dua individu dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
Esah Abas ,62, yang merupakan bekas Pengurus Kewangan di Unit Pelaburan Felcra berkata dua individu yang menandatangani surat pindahan wang itu ialah bekas Ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad Datuk Fattah Abdullah dan Pengurus Besar Kumpulan Kewangan Azmy Abu Samah.
Menurut Esah, kesemua RM150 juta yang dikeluarkan melalui lima baucar itu dibuat selepas beliau menerima surat pindahan wang daripada Pengurus Kanan Kawalan Kredit Azriman Ridouan bagi pindahan wang dari Akaun Semasa Felcra Berhad bertarikh 18 Mei 2015 untuk menyediakan baucar bayaran bagi pelaburan kepada Public Mutual.
“Kelima-lima baucar bayaran yang dirujuk ini disediakan oleh saya atas arahan Azriman pada 18 Mei 2015 dan tandatangan pelulus baucar juga adalah Azriman,” kata.
Esah yang merupakan saksi ke-10 berkata demikian ketika membaca penyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A.Samad di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Sementara itu ketika disoal peguam Datuk K.Kumaraendran berkaitan adakah unit pelaburan itu menyalahi prosedur kewangan, saksi itu menjawab ia tidak menyalahi.
Dalam soalan tambahan lain, Kumaraendran turut bertanya adakah baucar boleh dikeluarkan sekiranya tiada surat yang ditandatangani Fattah, saksi itu menjawab ia tidak boleh dikeluarkan.
“Tanpa surat dan tandatangan saya tidak boleh sediakan baucar,” katanya.
Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd. Sophian Zakaria, Abdul Rashid Sulaiman, Siti Noor Hafizan Zakaria dan Maziah Mohaide.
Peguam M.Athimulan mewakili Bung manakala peguam Kumaraendran mewakili Zizie Izette.
Pada 3 Mei 2019, Bung,61, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie,42,.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie atas sebab yang sama.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.
Zizie juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama. -K!ONLINE