SETIAP hari, kira-kira pukul 3.30 petang, kelibat anak muda berusia 23 tahun, S. Kavievanan bersama dua bekas air yang diletakkan di atas sebuah basikal dapat dilihat di sekitar Briekfields, Kuala Lumpur.
Turut kelihatan, beberapa orang pelanggan yang mengerumuni tong berisi 20 liter air teh masala. Masing-masing dilihat teruja untuk menikmati keenakan teh yang dijual pada harga RM1 secawan itu.
Sejak bulan Mei lalu, itulah rutin harian Kavievanan selepas dia mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan teh masala secara kecil-kecilan.
Menurut graduan kelulusan kejuruteraan mekanikal itu, kesukaran mendapat pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 menyebabkan dia mengambil inisiatif untuk mengusahakan perniagaan kecil-kecilan yang dikenali sebagai Tea Thambi.
“Sukar untuk mendapat kerja sewaktu pandemik. Saban hari, saya memikirkan bentuk perniagaan yang mampu menarik perhatian pelanggan. Dari situ, timbul idea untuk mengusahakan perniagaan menjual teh masala menggunakan basikal.
“Basikal memang sengaja dipilih kerana ia merupakan satu pengangkutan yang unik. Tambahan pula, pada zaman dahulu, kebanyakan peniaga berbasikal untuk berniaga. Jadi, inspirasi diambil daripada situ.
“Bukan itu sahaja, basikal juga memudahkan saya untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi tanpa mengira hujan atau panas,” katanya.
Biarpun berkelulusan tinggi, namun anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak malu untuk menjaja teh yang dihasilkan sendiri.
Lebih membanggakan apabila Kavievanan sanggup berbasikal dari kedai ke kedai di sekitar Briekfields sejauh 5 kilometer hanya untuk memperkenal dan menjual teh masala ketika di awal perniagaannya.
Memulakan perniagaan dengan menjual 30 cawan teh sehari, siapa sangka, Kavievanan kini mampu menjual sehingga 300 cawan sehari.
“Ibu yang mengajar saya cara membuat teh. Bagaimanapun, rasa teh itu kemudian diolah mengikut resepi rahsia saya sendiri.
“Teh masala dipilih kerana banyak kebaikan yang diperoleh di dalam satu cawan air. Antaranya ialah dapat memanaskan badan, membuang angin dan mengatasi masalah peredaran darah serta pernafasan.
“Selain teh, saya menjual roti kering sebagai kudapan untuk dimakan bersama teh masala,” katanya.
Biarpun teh yang dijualnya kini mendapat tempat di hati masyarakat termasuk golongan ternama, namun Kavievanan mengakui tidak terlepas daripada pandangan sinis orang di sekeliling.
“Ada yang ingat saya tidak berpendidikan. Tetapi saya abaikan semua pandangan negatif mereka dan terus berusaha untuk memajukan perniagaan ini.
“Saya mahu menjadi seperti ayah. Biarpun tidak berpendidikan dan datang dari estet, namun dia mampu mengusahakan perniagaan dan membesarkan kami tiga beradik dengan memberi pendidikan yang cukup sempurna.
“Melihatkan kerja keras ayah sehingga berjaya menggapai apa yang dimiliki hari ini, ia memotivasikan saya untuk terus berusaha terutamanya dalam mengembangkan perniagaan ini,” katanya.
Kurang setahun menjalankan perniagaan Tea Thambi, Kavievanan kini telah berjaya membuka satu lagi perniagaan di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur.
“Sambutan dan permintaan yang hangat daripada masyarakat membolehkan saya membuka satu lagi cawangan di Masjid India.
“Tea Thambi di Masjid India dijaga oleh seorang rakan dan kini dalam perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan, selain mahu menjadi seorang usahawan berjaya pada satu hari nanti,” katanya.