ALOR SETAR – Sebarang keputusan yang akan dibuat berhubung pengagihan kerusi Parlimen antara Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih boleh berubah mengikut keperluan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana rundingan berhubung perkara tersebut belum selesai dan dimuktamadkan lagi.
“Pilihan raya tidak tahu lagi bila, bila kita tahu (tarikh) pilihan raya, baru kita dapat selesaikan (pengagihan kerusi).
“Boleh berubah (pengagihan kerusi), kita boleh adjust (sesuaikan) lagi benda ini, kalau perlu, kita akan tukar. Ia belum muktamad, tetapi kita buat keputusan serah kepada pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi bersama Peladang di kawasan Muda di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan UMNO dijangka bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen pada PRU-15 selepas parti itu dikatakan sudah selesai mengadakan rundingan kerusi dengan Pas.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan memaklumkan perkara berkenaan dalam satu majlis perjumpaan bersama media di ibu negara pada Sabtu lalu. – K! ONLINE