BALIK PULAU – Polis giat memburu suspek yang bertindak meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran palsu berdekatan sebuah kereta jenis dan warna sama di tepi jalan di Bayan Lepas di sini semalam.
Dalam kejadian itu, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerima panggilan daripada seorang individu yang menjumpai sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran sama dengan kereta miliknya kira-kira pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A.A. Anbalagan berkata, polis telah membawa balik kereta dengan nombor pendaftaran palsu tersebut ke Balai Polis Bayan Lepas selepas setengah jam kemudian.
“Siasatan lanjut mendapati, pengadu (anggota polis) mengenali pemilik sebenar kereta bernombor pendaftaran sama berikutan dia pernah dipanggil untuk direkodkan keterangan.
“Ia bagi membantu siasatan kes kemalangan kereta di daerah ini pada 7 dan 14 Disember tahun lalu.
“Bagaimanapun pemilik asal kereta itu menafikan terlibat dalam dua kejadian tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Beliau menambah, polis sehingga kini belum mengenali pasti identiti suspek terbabit dan meminta individu berkaitan tampil memberi keterangan berhubung kes kemalangan berkenaan.
Terdahulu, sekeping gambar yang memaparkan dua buah kereta Perodua Myvi berwarna putih yang diletakkan berdekatan antara satu sama lain dengan nombor pendaftaran sama tular di laman sosial Facebook hari ini. – K! ONLINE