fbpx

PM akan umum langkah ketat kawal penularan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham Baba

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan tindakan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat mengawal penularan Covid-19 menerusi perutusan khas, petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba pada sidang media, hari ini.

Adham berkata, langkah dan tindakan itu penting bagi kerajaan bagi menurunkan jumlah kes jangkitan harian Covid-19.

“Tentu sekali kita akan melihat penurunan jumlah kes sekiranya langkah yang akan dilaksanakan itu bertepatan,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan amat memerlukan sokongan masyarakat bagi mengurangkan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memastikan peralatan diperlukan di hospital mencukupi terutama katil, wad, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan bagi merawat pesakit Covid-19.

Beliau berkata, pada masa sama, sumber manusia juga amat diperlukan dan kementerian sentiasa memastikan tenaga kerja mencukupi bagi merawat kes Covid-19.

“Sumber manusia ini untuk bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang; Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) serta beberapa pusat lain yang sudah diwartakan.

“Tempat ini bersedia untuk menerima pesakit Covid-19 berisiko rendah tahap satu dan dua manakala pesakit berisiko tinggi dirawat di hospital KKM,” katanya.

Katanya, kementerian juga sedang mempersiapkan supaya hospital swasta juga berperanan merawat kes Covid-19 pada masa depan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini yang menyatakan kerajaan tidak dapat menampung jumlah pesakit jika kes harian Covid-19 mencecah 5,000 sehari.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI