MELAKA – Kesemua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan ke Pahang bagi misi bantuan pasca banjir di kawasan terjejas.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kerajaan negeri akan menghantar pasukan PBT yang melibatkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dalam masa terdekat.
Katanya, rombongan itu yang akan diketuai oleh Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman dihantar bagi menghulurkan perkhidmatan dan bantuan pembersihan pasca banjir di kawasan yang terjejas teruk di negeri itu.
“Dalam keadaan negeri jiran dilanda bencana, pastinya kita akan menghantar misi bantuan terutama di kawasan yang terjejas teruk.
“Kita akan menghantar empat PBT ke sana dalam waktu terdekat selepas kita putuskan kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan pasca banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu dan Pra Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini. -K! ONLINE