fbpx

Murid sekolah rendah, tingkatan 1 hingga 4 belajar online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sesi persekolahan secara bersemuka di institusi pendidikan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya melibatkan calon peperiksaan utama termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2020 dan 2021.

Kebenaran itu juga melibatkan calon yang menduduki  Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari ini.

“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama,” katanya hari ini.

KPM berkata, semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah di kawasan PKP akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari depan.

Menurutnya, ketetapan itu juga terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional.

Sementara itu, KPM berkata, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini bagi tujuan pengoperasian sekolah.

Kenyataan itu berkata, guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, calon berdaftar yang masih belum menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan 1, mereka akan mengikuti pentaksiran itu di antara 20 hingga 29 Januari depan.

“Bagi kemasukan ke Tingkatan 4 pula, pentaksiran akan diadakan di antara 15 hingga 25 Februari depan.

“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh KPM bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran yang ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, KPM berkata, pelajar kolej matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.

“Bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai 17 Januari ini.

“Di samping itu, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, KPM berkata, bagi kawasan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.

KPM menyarankan agar semua ketetapan itu turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.

Tambahnya, KPM akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu; Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Pemantauan berterusan pengoperasian  institusi  pendidikan akan  dilaksanakan  secara berterusan bagi  memastikan  aspek  kesihatan  dan  keselamatan semua warga institusi pendidikan sentiasa diutamakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI