fbpx

Lelaki diberkas kali ke-101, aktif samun bersama kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Afzanizar (tengah) menunjukkan senjata parang yang ditemui di dalam sebuah Perodua Myvi yang dinaiki pasangan tersebut.

MELAKA – Seorang lelaki yang mempunyai 100 rekod tangkapan diberkas semula bersama teman wanitanya selepas dikesan aktif melakukan kegiatan samun dan curi kenderaan di empat negeri dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di Jalan Kesidang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) daerah Melaka Tengah mengesan tiga suspek di premis tersebut, bagaimanapun seorang berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, dalam serbuan itu, pasukan polis turut terpaksa melepaskan tiga das tembakan selepas pasangan kekasih itu bertindak merempuh kenderaan polis ketika cuba melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi.

Katanya, suspek berusia 38 itu dan teman wanitanya berusia 42 tahun berjaya diberkas, manakala seorang lagi suspek berusia 35 tahun lolos.

“Hasil risikan, suspek dipercayai telah menjadikan hotel bajet ini sebagai markas jenayah mereka sejak September tahun lalu dan melakukan kegiatan samun serta curi kenderaan di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Melaka.

“Menyedari kehadiran polis, pasangan itu cuba melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Myvi dan bertindak merempuh kenderaan polis berkali-kali sehingga menyebabkan anggota terpaksa melepas tiga das tembakan di bahagian tayar,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ujarnya, akibat rempuhan itu, seorang anggota polis dan suspek lelaki yang memandu mengalami kecederaan di tangan, manakala seorang lagi suspek lelaki mengambil peluang insiden berkenaan untuk meloloskan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta tersebut turut menemui pelbagai senjata berbahaya termasuk parang dan kapak yang dipercayai digunakan bagi kegiatan samun dan curi kenderaan.

“Kita juga menemui pelbagai jenis dadah termasuk dadah jenis methamphetamine seberat 20.64 gram; heroin (15.07 gram); empat biji pil kuda (0.56 gram) dan dua pil ecstasy.

“Hasil semakan lanjut, suspek lelaki juga mempunyai 100 rekod tangkapan dan 40 rekod jenayah lampau, manakala teman wanitanya mempunyai empat rekod berkaitan dadah,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, tangkapan pasangan itu turut menyelesaikan 10 kes jenayah melibatkan kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan di negeri ini sejak September tahun lalu.

“Kita mendapati ketiga- tiga suspek menjalankan kegiatan jenayah secara berpindah-randah dan menjadikan Melaka sebagai transit persembunyian.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen Seksyen 379A iaitu jenayah curi kenderaan, Seksyen 380 kerana mencuri dalam bangunan serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menyerang ataupun menggunakan kekerasan jenayah,” katanya.

Tambahnya, suspek juga akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI