fbpx

K2

Kerjasama lonjak teknologi aeroangkasa Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROKET hibrid yang dilancarkan menuju ke ruang angkasa hingga 1 km tinggi sebelum tidak kelihatan daripada mata kasar.

JALAN tanpa nama di tengah-tengah ladang sawit itu tidak pernah menjadi tumpuan orang ramai. Namun, pada hari itu, sekumpulan kakitangan daripada MTC Engineering Sdn. Bhd., Equatorial Space Systems (ESS) danUniversiti Teknologi Mara (UiTM) ‘berkampung’ di jalan itu.

Terik matahari menghiasi langit biru Felcra Changkat Lada, Perak. Keringat berlumba-lumba turun dari tubuh badan empat lelaki berjaket industri biru gelap.

Mereka yang merupakan kakitangan ESS kelihatan asyik ‘menggodek’ muncung roket sepanjang 2.4 meter itu. Mengelilingi mereka ialah kru dan kakitangan daripada MTC Engineering. Selama dua hari, mereka memasang platform setinggi 10 meter untuk pelancaran sebuah roket hibrid.Bahang yang terasa bukan sahaja dek panas matahari yang menikam, tetapi kerana ini merupakan kali pertama prototaip roket dari Singapura itu akan dilancarkan.

Sudah tentu semua persiapan harus dibuat dengan rapi.

Mereka harus menunggu beberapa jam bagi mendapatkan tekanan cecair pengoksida yang mencukupi untuk tujahan roket berkenaan.

Tepat pukul 11.30 pagi, dengan kiraan lima, asap hitam mula keluar dari nozel roket itu. Selang beberapa minit, deruan enjin roket membingitkan ruang angkasa Changkat Lada.

Roket hibrid itu terbang meninggalkan permukaan bumi dan terus ke angkasa sehingga kira-kira 1 kilometer tinggi. Ia tidak lagi kelihatan menerusi mata kasar setelah beberapa ketika.

Kru K2 bersama beberapa pengamal media lain berkesempatan menyaksikan detik-detik tersebut.

STAF ESS bertungkus-lumus di tapak pelancaran dengan memeriksa sistem pendawaian sebelum mencantum muncung roket untuk dilancarkan.

Pelancaran prototaip roket hibrid itu merupakan kerjasama antara MTC Engineering yang merupakan syarikat tempatan dan syarikat ESS dari negara Seberang Tambak, serta UiTM melalui makmal UiTM-MTC HEMREL selaku rakan kongsi yang menyediakan peralatan dan logistik. Pihak Spacein Sdn. Bhd. pula membantu mengurus lokasi dan permit pelancaran.

Bercakap kepada media, Pengarah Besar MTC Engineering, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Juani Sujana berkata, kerjasama tersebut membuka pintu kepada syarikat tempatan itu untuk terus memajukan teknologi roket buatan Malaysia.

“Pihak MTC bekerjasama dari segi membantu memasang platform pelancaran. Kami sudahpun melancarkan roket buatan kami sendiri, jadi kami mempunyai pengalaman dalam memasang platform.

“Pihak ESS membawa roket hibrid yang mempunyai ‘resipi rahsia’ mereka yang mana kami boleh melihat bagaimana penghasilan roket serta cara mereka bekerja.

“Dengan cara ini, pihak Singapura menyediakan teknologi roket, manakala pihak Malaysia menyediakan kawalan misi dan penyeliaan aeroangkasa yang mana kita tak mampu untuk melakukannya bersendirian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran roket itu baru-baru ini.

MTC Engineering melancarkan 11 roket daripada tiga jenis berlainan pada bulan September lalu. Ia merupakan julung-julung kali syarikat itu melancarkan roket buatannya sendiri.

Syarikat itu menghasilkan roket untuk kegunaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi tujuan pendidikan, roket latihan untuk pihak tentera dan ‘roket sounding’ untuk kajian cuaca.

Namun, mereka berhadapan masalah untuk mendapatkan dana yang secukupnya bagi melonjakkan tahap kemajuan teknologi roket tempatan.

“Cabarannya memang sukar nak dapat sokongan dari segi dana dan kebenaran pihak berkuasa.

“Kita pun ada membuat aktiviti kejuruteraan balikan sistem pelancar roket berganda Astros milik Tentera Darat, namun ia memerlukan dana dan sokongan yang kuat.

“Kalau kita bawa masuk barang, orang tanya untuk apa dan kita cakap hendak buat prototaip roket Astros, sudah tentu tiada pihak yang akan luluskan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya ada meminta dana untuk pembangunan roket daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), namun tidak diberikan atas alasan ia berkaitan dengan ketenteraan.

KAKITANGAN UiTM dan staf syarikat MTC Engineering Sdn. Bhd. bergambar bersama sebelum melakukan pelancaran prototaip roket hibrid di Felcra Changkat Lada, Perak baru-baru ini. – ZULFACHRI ZULKIFLI

Ujarnya, persepsi mengenai teknologi roket perlu diubah dalam kalangan pembuat dasar kerana roket tidak semestinya digunakan untuk tujuan ketenteraan.

“Kita minta dana dengan Mosti dan MIDA untuk bangunkan roket bagi penggunaan awam seperti pembenihan awan,” katanya.

Beliau melahirkan penghargaan kepada beberapa pihak untuk pelancaran hari itu seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Felcra dan polis.

Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ESS, Szymon Qwozdz berkata, kerjasama itu bakal melonjakkan potensi aeroangkasa di negara Asia Tenggara.

“Roket adalah instrumen asas untuk menghantar satelit ke orbit. Teknologi kami membuatkan roket lebih selamat dan murah berbanding sistem roket kontemporari di pasaran.

“Saya tak nampak alasan untuk tidak menjadikan Asia Tenggara sebagai pusat bisnes pelancaran roket,” katanya.

Ia juga sejajar dengan perkembangan teknologi satelit yang semakin murah. Jika dahulu, kos satelit boleh mencapai beberapa ratusan juta dolar, kini satelit-satelit kecil boleh dihasilkan dengan anggaran AS$2 juta hingga AS$4 juta (RM8.1 juta hingga RM16.2 juta).

Selain itu, Qwozdz berkata, geografi maritim Asia Tenggara yang terdapat banyak pulau juga bermakna banyak prospek klien yang mahu menggunakan perkhidmatan pelancaran roket bagi pelancaran satelit untuk tujuan komunikasi dan kesalinghubungan.

Maklumnya, syarikat Rocket Lab yang berpangkalan di New Zealand merupakan pendahulu dalam industri itu dalam pasaran pelancaran satelit.

Justeru, tidak ada sebab mengapa negara-negara Asia Tenggara tidak mencontohi kemajuan dalam bidang aeroangkasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI