PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b menjadikan jumlah keseluruhan vaksin itu sebanyak 25 juta dos.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, perolehan tambahan itu meliputi 39 peratus populasi penduduk Malaysia dan akan diterima sepanjang tahun ini.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mewakili kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian Pembuatan dan Pembekalan (MSA) bagi pembekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech BNT1262b di pejabatnya di sini hari ini.
Perjanjian itu dimeterai secara virtual dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. yang diwakili oleh CountryManager (Malaysia/Brunei), Luksanawan Thangpaibool.
Bahagian Perolehan dan Penswastaan KKM berkata, perjanjian itu melibatkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung bulan Februari depan.
“Perjanjian yang dimeterai hari ini adalah untuk fasa pertama dengan penghantaran vaksin ke seluruh Malaysia.
“Ia meliputi 20 peratus populasi penduduk Malaysia dengan dua dos setiap seorang,” katanya. -K! ONLINE