SERDANG – Polis menahan 16 individu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes menyimbah cat merah di sebuah kediaman milik penjawat awam di Taman Puncak Jalil, Puchong di sini pada Jun tahun lalu.
Kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Bandar Puteri Puchong kira-kira pukul 3 petang, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 17 hingga 23 tahun.
Katanya, siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek yang ditahan adalah suspek utama dalam kes simbah cat di rumah penjawat awam terbabit.
“Suspek utama ini adalah individu seperti yang tular di media sosial sebelum ini dan dia akan ditahan untuk kita lengkapkan kertas siasatan kes ini.
“Sementera itu, siastan lanjut mendapati kesemua suspek tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti atau kumpulan kongsi gelap,”katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain menahan 16 suspek, pihaknya turut merampas sebuah komputer riba, 14 buah telefon bimbit, kad sim, serta buku nota mengandungi nama dan nombor kad pengenalan beberapa individu.
Tambah Razali dengan tertangkapnya semua ahli kumpulan itu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan kes simbah cat ke atas sebuah rumah milik pejawat awam pada Jun tahun.
Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.-K! ONLINE