PETALING JAYA – Sempena menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-42 hari ini, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada stesen radio tempatan kerana menyediakan segmen khas untuknya hari ini.
Menerusi perkongsian status dalam Instagram miliknya, isteri kepada Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa itu turut meninggalkan pesanan dengan memohon stesen radio untuk memutarkan lagunya berjudul Basyirah.
“11 Januari 2021. Alhamdulillah dan terima kasih. Saya berterima kasih kepada stesen-stesen radio yang memutarkan lagu-lagu saya dengan slot khas bermula pagi ini.
“Jika tidak keberatan, saya mohon agar dapat diputarkan lagu Basyirah daripada album #ManifestaSITI2020. Lagu yang saya lancarkan sekitar enam bulan lalu, di mana kita bertungkus lumus menentang Covid-19,” ujarnya.
Dalam perkongsian tersebut, Siti atau mesra disapa Tokti memberitahu lagu ciptaan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun berkenaan adalah sebuah karya yang dicipta khas untuk petugas barisan hadapan yang bekerja keras berjuang ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
“Semoga Basyirah atau ‘Khabar Gembira’ akan mengiringi kita semua dan kita akan menang,” ujarnya.
Pada masa sama, Siti yang kini sedang hamil lima bulan anak keduanya sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan bantuan bagi membantu mangsa banjir di beberapa buah negeri ketika ini.
“Kita harus berdoa agar negara kita akan dilindungi Allah dan dijauhkan musibah yang lebih teruk lagi.
“Ini doa hari lahir saya. Semoga kita semua dipermudahkan dalam setiap cabaran yang Allah SWT uji. Terus kuat!,” kata ibu kepada Siti Aafiyah itu.
Sempena ulang tahun kelahirannya juga, Twitter trending dengan tanda pagar #HappyBirthdaySitiNurhaliza dan #siti42 yang dikirimkan oleh para peminatnya.
Peminat juga tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan memberikan ucapan dan doa kepada penyanyi kesayangan negara itu. -K! ONLINE