PUTRAJAYA – Kadar pengangguran pada November tahun lalu meningkat secara marginal sebanyak 0.1 mata peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 4.8 peratus dengan 764,400 penganggur direkodkan.
Data itu dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, November 2020.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur pada bulan itu meningkat sebanyak 2.2 peratus atau bersamaan 16,200 orang, berbanding 748,200 pada bulan sebelumnya.
“Penganggur aktif didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat 2.3 peratus mencatatkan sejumlah 637,700 orang berbanding 623,100 orang pada Oktober.
“Begitu juga penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan tersedia meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 126,700 orang berbanding 125,100 (Oktober),” katanya di sini hari ini.