fbpx

Warga emas patah kaki, pinggul dikejar kera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa disergah seekor kera ketika membersihkan halaman rumahnya di di Kampung Morten, pagi semalam.

MELAKA – Seorang wanita warga emas berisiko lumpuh selepas patah kaki kiri dan pinggul ketika cuba menyelamatkan diri dari dikejar seekor kera liar di halaman rumahnya di Kampung Morten, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 73 tahun mengalami patah paha serta pinggul dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Sidang Kampung Morten, Ahmad Safwan Salim ketika dihubungi berkata, kejadian malang itu berlaku ketika mangsa dikatakan sedang membersihkan halaman rumahnya.

“Mangsa tinggal seorang diri dirumahnya dan ketika dia membersihkan halaman rumah, tiba-tiba datang seekor kera menyergahnya menyebabkan warga emas itu terkejut.

“Mangsa kemudian melarikan diri kerana bimbang diserang sebelum dipercayai terjatuh menyebabkan kaki dan pinggulnya patah,” katanya.

Ujarnya, mangsa yang menjerit meminta tolong kemudian dibantu penduduk sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.

Tambahnya, difahamkan mangsa perlu menjalani beberapa pembedahan di bahagian kaki serta pinggul dan berisiko lumpuh.

Mengulas lanjut Ahmad Safwan berkata, kes gangguan kera itu adalah yang kedua berlaku di kampung berkenaan sejak 2017, selepas habitat haiwan itu di Taman Rumpun Bahagia, Bachang dibangunkan.

“Kes pertama berlaku pada 2017 yang turut mengakibatkan seorang warga emas patah kaki akibat dikejar sekumpulan kera yang ingin mencari makanan di sekitar kawasan ini.

“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kemudian telah meletakkan sangkar untuk menangkap haiwan liar tersebut sebelum mengalihkan perangkap itu ke kawasan lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Mohd. Firrdhaus Mahmood berkata, susulan kejadian kelmarin, pihaknya telah meletakkan semula sangkar berkenaan di kawasan itu.

“Selepas insiden 2017, kita telah memindahkan sangkar ke kawasan lain selepas mendapati kawasan itu telah pasif (tiada serangan kera).

“Bagaimanapun semalam, kita telah letakkan semula sangkar disitu. Kita tidak boleh tembak lupus kera di sana kerana kawasan itu mempunyai bangunan tinggi dan khuatir tembakan akan tersasar,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI