fbpx

Wanita pandu lawan arus di Lebuh Raya SDE ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA dipandu seorang wanita berusia 46 tahun secara melawan arus di Lebuhraya SDE, Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita berusia 46 tahun berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun beserta denda antara RM5,000 hingga RM15,000 selain hilang kelayakan memandu selama lima tahun hanya kerana memandu secara merbahaya dengan melawan arus.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wanita itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut di Lebuh Raya Senai Desaru menghala ke arah Desaru berhampiran susur keluar tol Cahaya Baru, Pasir Gudang.

Jelasnya, suspek ditahan pada pukul 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

“Semalam, polis menerima satu rakaman video berdurasi 48 saat menunjukkan sebuah kereta dipandu secara merbahaya iaitu dengan melawan arus.

“Sehubungan itu suspek ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, tular sebuah video rakaman berhubung kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku pada 7 Januari lalu kira-kira pukul 4.30 petang.

Tambah Ayob Khan lagi, polis Johor akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan tindakan pertuduhan di mahkamah dibuat atas kecuaian suspek yang jelas mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Kami memandang serius perbuatan ini dan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” ujarnya.

Dalam masa sama, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dalam membantu polis sehingga suspek berjaya ditahan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI