WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) dipilih, Joe Biden menyambut baik pengumuman keputusan Donald Trump untuk tidak hadir ke upacara pelantikan Presiden AS baharu pada 20 Januari ini.
“Saya diberitahu bahawa Trump menyatakan beliau tidak akan hadir pada upacara pelantikan (presiden baharu). Ini ialah antara salah satu perkara kami dua bersetuju.
“Ia satu benda baik dengan beliau tidak menghadirkan diri. Beliau telah memalukan negara ini,” kata Biden kepada wartawan di Wilmington, Delaware.
Biden juga menyifatkan Trump sebagai tidak sesuai untuk berkhidmat.
Presiden Trump kini berdepan kemungkinan didakwa kerana meminta penyokongnya berarak ke bangunan Capitol yang menyaksikan rali besar-besaran itu bertukar ganas.
“Beliau menjangkaui pandangan terburuk saya tentangnya. Beliau ialah salah seorang presiden yang paling tidak cekap dalam sejarah Amerika Syarikat,” tambah Biden.
Bakal presiden itu juga menyatakan Naib Presiden Mike Pence akan dialu-alukan ke upacara pelantikan tersebut.
Kenyataan Biden muncul selepas Trump membuat pengumuman melalui Twitter bahawa belian tidak akan hadir pada majlis pelantikan Biden.
“Kepada semua yang bertanya, saya tidak akan menghadiri majlis pelantikan pada 20 Januari ini,” menurut kenyataan Trump di Twitter.
Pada Rabu lalu, beribu-ribu penyokong Trump berhimpun dan mara ke bangunan Capitol semasa Kongres sedang menjalankan satu sesi bagi mengesahkan kemenangan Biden pada pilihan raya Presiden 3 November tahun lalu.
Kumpulan pro-Trump turut memecah masuk dan menawan bangunan Capitol yang menyaksikan suasana bertukar cemas dalam dewan. Sejumlah senjata turut ditemui dan setakat ini, lima orang disahkan meninggal dunia akibat kekecohan di bangunan Capitol.
Seramai 15 orang didakwa terlibat dalam serangan ke atas Kongres termasuk seorang lelaki yang dikatakan memiliki bom buatan sendiri dan senjata api, menurut Jabatan Keadilan.
Agensi itu mendedahkan bahawa kes pertuduhan dikemukakan ke atas 13 individu kerana membawa senjata termasuk dua pucuk pistol dibawa oleh Richard Barnett dan Lonnie Coffman. Pihak berkuasa turut menemui sebanyak 11 bom petrol buatan sendiri di dalam trak Coffman.
Selain itu, Christopher Albert dari Maryland turut didakwa membawa sepucuk pistol berisi peluru semasa dia memasuki bangunan Capitol manakala Mark Leffingwell berdepan pertuduhan menumbuk seorang pegawai.
Sebahagian besar 13 tertuduh itu turut didakwa menceroboh bangunan Kongres dan melakukan tindakan ganas. Mereka juga berdepan pertuduhan menghalang kerajaan menjalankan tugas kerana menyebabkan mesyuarat bersama Kongres pada hari kejadian tergendala.
Hampir 40 orang ditahan dan didakwa oleh polis tempatan di Washington kerana melanggar perintah berkurung, kesalahan senjata dan kemasukan secara tidak sah.
Bendera AS dikibar separuh tiang di bangunan Capitol bagi memberi penghormatan kepada seorang anggota polis yang terbunuh dalam insiden itu. Setakat ini, agensi berita AFP mengesahkan lima kematian.
Pegawai Polis Capitol, Brian Sicknick dilaporkan diserang di kepala menggunakan satu alat pemadam api pada Rabu lalu semasa cuba menghalang kumpulan perusuh menceroboh bangunan Capitol dan Kongres.
Anggota berumur 42 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital. Dia meninggal dunia akibat kecederaan dialami kelmarin, kata Polis Capitol.
Pemangku Peguam Negara, Jeffrey Rosen menyatakan Jabatan Keadilan akan menyiasat kematian pegawai berkenaan.
Empat individu lain meninggal dunia termasuk seorang ditembak polis pada Rabu lalu ialah penyokong Trump. Seorang lelaki, Benjamin Phillips berumur 50 tahun yang menyertai protes pula terkena serangan strok.
Satu pagar besi setinggi dua meter telah dipasang di kawasan pekarangan bangunan Capitol bagi melindungi institusi berkenaan selepas Kongres diceroboh.
Setiausaha Tentera, Ryan McCarthy menyatakan pagar yang ‘tidak boleh dipanjat’ itu akan ditempatkan di situ sekurang-kurangnya 30 hari.
Terdapat sejumlah anggota Pengawal Kebangsaan dan Polis Capitol mengawasi bangunan Capitol. – AFP