KLANG – Meminta mangsa terus melakukan transaksi pemindahan wang ke akaun suspek sebelum merampas kad pengenalan merupakan modus operandi kumpulan penyamun yang aktif sejak sebulan lalu di daerah ini.
Bagaimanapun, perbuatan jahat itu berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat suspek dalam dua serbuan berasingan di Bandar Baru Klang dan Pandamaran Jaya di sini, pukul 8 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mereka yang berusia 22 hingga 29 tahun itu dikehendaki selepas
selepas terlibat dalam kejadian pecah rumah dalam kejadian di Taman Bayu Tinggi pada 19 Disember lalu.
Katanya, dalam kejadian berkenaan mangsa berusia 31 tahun kehilangan 23 barangan kemas termasuk rantai, subang, cincin dan gelas selain wang tunai RM1,000 dengan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM35,000.
“Berdasarkan hasil risikan, polis kemudiannya menahan tiga lelaki di sebuah hotel bajet di Bandar Baru Klang dan seorang lagi suspek di Pandamaran Jaya.
“Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah sebuah komputer riba jenama Apple,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan suspek ini aktif sejak sebulan lalu dengan terlibat dalam dua kes pecah rumah dan satu kes samun tepi jalan.
Kata Shamsul Amar, hasil siasatan awal turut mendapati seorang daripada mereka bertindak ‘jaga air’ atau pemerhati terhadap kehadiran polis dan individu lain di lokasi kejadian jenayah melibatkan pecah rumah.
“Modus operandi mendapati seorang daripada suspek akan menjual barangan hasil pecah rumah seperti barangan kemas dan komputer riba.
“Bagi samun di tepi jalan pula, mereka akan bersenjata pisau dan memaksa mangsa melakukan transaksi pemindahan wang terus ke dalam akaun salah seorang suspek dikenali sebagai Tamil selain mengambil kad pengenalan mangsa,” jelasnya.
Beliau menambah, semakan mendapati dua daripada suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan seperti mencuri, menipu, samun, merompak dan dadah.
“Polis kini sedang memburu dua lagi rakan suspek dikenali Rahim Sappe,32, yang dikenali sebagai Paning serta Tamil, 29. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. -K! ONLINE