TIDAK jauh dari deretan pokok nipah di satu lokasi di Sungai Pahang dekat Pekan, kelihatan satu lubuk digemari pemburu udang galah jenggo.
Udang galah jantan itu daripada spesies Macrobrachium rosenbergii terkenal dengan sepit berwarna biru. Saiz tubuhnya boleh mencecah sehingga 35 sentimeter panjang dan mempunyai tekstur daging agak liat jika saiz terlalu besar.
Seorang pemancing, Azman mencelup tangannya ke dalam sungai di lubuk itu. Dirasakan suhu airnya sedikit suam menandakan adanya udang galah keluar mencari makanan.
Jika air sejuk, ia petanda udang galah lebih gemar bersembunyi dalam lubang tanah di dasar sungai dan tidak keluar mencari makanan.
Melihat reaksi positif Azman selepas menguji suhu air sungai, rakannya, Faizal bersiap sedia memburu jenggo. Belum sempat melempar umpan pancing ke dasar lubuk, Faizal terlihat satu objek besar yang bergerak perlahan di permukaan air.
Objek itu memiliki bebola mata besar, kulit menggerutu dan susunan gigi tajam sangat mengerikan.
Wajah Faizal bertukar pucat, lidahnya kelu. Dia segera menepuk bahu Azman. Jari telunjuknya dihalakan ke arah objek tersebut yang berenang sangat perlahan pada jarak kira-kira 15 meter dari bot dinaiki mereka.
“Shhh… jangan sebut apa-apa. Duduk diam-diam. Biarkan dia,” kata jurumudi bot yang hanya dikenali sebagai Pok Mat dengan suara seakan berbisik kepada kedua-dua pemuda lewat 20-an itu.
Cahaya matahari yang terik pagi itu mungkin dirasakan seram sejuk oleh kedua-dua pemuda berkenaan sejurus melihat objek tersebut. Daripada riak wajah Faizal dan Azman yang kelihatan pucat seperti mayat, Pok Mat tahu mereka sedang ketakutan.
Nelayan tempatan berusia lewat 60-an itu hanya menyuruh kedua-dua pemuda tersebut tidak bergerak sambil menunggu objek itu berlalu pergi meninggalkan kawasan lubuk.
“Saya minta mereka bertenang sebelum kami mula memancing dan dapat banyak udang galah di lubuk itu. Kata orang, kalau ada banyak sangat udang galah di lubuk, mungkin sekali ada buaya yang menyelam di dasar sungai. Ia kerana, udang galah juga disebut dengan nama ‘kutu buaya’.
“Buaya di Sungai Pahang tidak baham orang. Ada kisah lama di sebalik mengapa buaya-buaya ini tidak ganggu manusia cari rezeki di sungai,” kata Pok Mat memulakan cerita tradisi lisan penduduk Pahang.
Menurut Pok Mat, buaya-buaya di Sungai Pahang sudah tidak lagi membaham manusia disebabkan terikat ‘perjanjian’ dengan seorang pawang terkenal di negeri itu, Pawang Kader atau nama sebenarnya Abdul Kader Awang sekitar tahun 1930-an.
“Diceritakan, seekor buaya besar pernah membaham lelaki Orang Asli di daerah Pekan pada satu masa dahulu (1930-an). Lelaki itu cedera parah tetapi berjaya menyelamatkan diri. Berita itu sampai ke telinga Pawang Kader,” katanya.
Ujar Pok Mat lagi, Pawang Kader yang meninggal dunia pada lewat 1980-an itu memiliki ilmu mistik termasuk pandai mengubati gangguan makhluk halus serta berkebolehan menjinakkan haiwan berbisa dan juga pemangsa seperti buaya.
“Setelah menerima khabar daripada penduduk, Pawang Kader segera bertemu lelaki Orang Asli itu. Pawang Kader bukan sahaja membantu mengubatinya, tetapi turut bertanya mengenai ciri-ciri buaya yang menyerangnya,” kata Pok Mat.
Pawang Kader dikatakan pergi ke tepi sungai yang menjadi lokasi lelaki itu diserang. Sambil disaksikan orang kampung, Pawang Kader menyeru buaya berkenaan supaya tampil bersemuka dengannya.
“Beberapa minit selepas membacakan ayat (al-Quran), buaya itu pun timbul. Dikatakan, Pawang Kader hukum buaya itu. Tidak pasti jenis hukumannya. Buaya itu mengalah dan diminta mengikat satu perjanjian.
“Dalam perjanjian (lisan), buaya itu serta seluruh keturunannya tidak dibenarkan membaham manusia. Untuk keadilan dalam perjanjian itu juga, manusia tidak akan membunuh buaya di negeri ini,” tambahnya.
Bagaimanapun, Pok Mat menambah, langkah berhati-hati perlu diutamakan ketika berada di habitat haiwan pemangsa itu.
Ia kerana sifat semula jadi reptilia tersebut yang lazimnya akan bertindak ganas di luar jangkaan apabila berasa terancam disebabkan oleh kehadiran manusia.