SEPANG – Seorang pemandu lori dan kelindan maut selepas lori tanpa muatan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi lori yang membawa muatan batu-bata di Kilometer (KM) 38.7 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dari arah Shah Alam menghala ke Nilai, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, pemandu lori jenis bonded yang dipandu seorang lelaki Melayu berumur 31 tahun bersama kelindannya seorang lelaki Melayu berumur 36 tahun, mengalami kecederaan parah selepas tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md. Noor Aehwan berkata, sebelum kejadian kemalangan berlaku, lori bonded 10 tan yang tiada muatan itu dalam perjalanan dari arah Shah Alam menghala ke Nilai.
“Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, lori bonded 10 tan yang dipandu tidak dapat dikawal lalu telah melanggar belakang lori muatan batu bata.
“Akibat perlanggaran tersebut, pemandu serta kelindannya tersepit dalam lori terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak forensik hospital,” katanya dalam kenyataan di sini.
Md. Noor Aehwan, bagaimanapun, pemandu lori yang membawa muatan batu bata itu bersama kelindan iaitu isterinya hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
“Semua kenderaan ditahan untuk urusan pemeriksaan lanjut Puspakom dan Kimia,” katanya.
Kes akan disiasat dibawah Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE