LONDON – Liverpool dilaporkan benar-benar bersungguh untuk mendapatkan khidmat bintang Perancis, Kylian Mbappe untuk dibawa ke Anfiled.
Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain dikatakan sedang berusaha untuk memujuk pemain itu menandatangani kontrak baharu apabila kontrak semasanya bakal berakhir dalam tempoh 18 bulan lagi.
Bagaimanapun, masih belum ada kata putus dan sebarang persetujuan hasil rundingan terbabit dan Liverpool sedang mengintai peluang untuk memujuk pemain berkenaan menyertai mereka.
Nilai semasa Mbappe dianggarkan sekitar €149 juta (RM735.80 juta) dan Liverpool dijangka berdepan masalah untuk mendapatkan pemain itu kecuali mereka mendapat bantuan daripada pihak lain.
Liverpool dilaporkan cuba mendapatkan bantuan daripada pengeluar barangan sukan terkenal dunia, Nike untuk memberikan sokongan kewangan bagi membolehkan impian mereka itu terlaksana.
Nike mengambil alih sebagai penaja pasukan Liverpool daripada New Balance membolehkan pasukan itu menerima €35 juta (RM172.84 juta) dan beberapa bonus termasuk 20 peratus daripada keuntungan penjualan jersi.
Sokongan kewangan itu dikatakan mampu menguatkan lagi kewangan Liverpool dalam misi mereka mendapatkan khidmat Mbappe. – AGENSI