ROMPIN – Seorang penjual buah maut semalam selepas lima hari bertarung nyawa akibat melanggar babi melintas jalan dalam kejadian di sini pada 5 Januari lalu.
Mangsa, Abnu Hajar Diang Ibrahim, 58, yang mengalami kecederaan parah pada kepala koma selepas itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Rompin ke sawah Sepayang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash terlanggar babi yang melintas jalan.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Rompin untuk menerima rawatan awal dan dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan selanjutnya,”katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di HTAA pada pukul 5.20 petang semalam.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan berdasarkan siasatan awal kejadian berpunca melanggar binatang. -K! ONLINE