fbpx

Masalah besar jika kes Covid-19 cecah 5,000 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Negara bakal berdepan masalah kekurangan katil untuk pesakit Covid-19 jika kes harian di seluruh negara terus meningkat mencecah antara 5,000 hingga 8,000 sehari.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kes Covid-19 kini telah mencecah 3,000 sehari, namun bilangan katil sedia ada masih mampu menampung jumlah pesakit.

“Sekiranya sudah sampai 5,000 atau 8,000 kes sehari, memang agak sukar untuk menampung keperluan tersebut. Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan ia tidak sampai ke tahap tersebut.

“Jika rakyat mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kita mampu melandaikan graf jangkitan. Paling penting ialah kerjasama seluruh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir Kelantan oleh Kementerian Pertahanan di Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hasan.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, orang ramai diminta bertenang dan tidak perlu membuat pembelian panik sebelum mendengar pengumuman yang bakal dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok.

“Jangan terpengaruh dengan khabar angin dibawa media sosial seperti malam tadi bahawa kononnya ada pihak polis mengadakan sekatan jalan raya dan tidak membenarkan orang keluar rumah. Malam tadi tiada pun seperti diheboh-hebohkan itu.

“Jadi ,jangan kita panik lebih awal daripada pengumuman Perdana Menteri dengan menyerbu pasar raya,” katanya.

Tegas beliau, sebelum melaksanakan sesuatu seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan akan mengambil kira semua keperluan rakyat termasuk aktiviti ekonomi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI