LUMUT – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mengaktifkan semula operasi di Lapangan Terbang Pangkor yang terbiar sejak kira-kira tujuh tahun lalu.
Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pengaktifan lapangan terbang itu turut melibatkan jenis pesawat yang boleh mendarat serta keadaan landasan sedia ada yang mungkin boleh dipanjangkan lagi.
“Jika ingin benarkan (sekurang-kurangnya) pesawat jenis ATR-72 yang membawa 70 penumpang mendarat, maka perlu memanjangkan sedikit landasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Seri Manjung di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.
Lapangan Terbang Pangkor dibuka sejak 1993 dengan landasan sepanjang 732 meter, namun berhenti beroperasi sejak Februari 2014.
Difahamkan, pesawat jenis ATR-72 memerlukan landasan sepanjang 1.2 kilometer.
Zambry berkata, MAHB sedang membuat perincian mengenai kos terlibat jika landasan lapangan terbang itu ingin dipanjangkan dan berharap mendapat maklum balas positif Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Menurut beliau, MAHB tiada masalah untuk memulakan operasi di lapangan terbang tersebut jika mendapat permintaan daripada syarikat penerbangan untuk membawa penumpang ke pulau peranginan itu.
Katanya, ini kerana kehadiran pengunjung ke Pulau Pangkor dijangka terus meningkat dua kali ganda selepas pengiktirafannya sebagai pulau bebas cukai sejak tahun lalu.
Sementara itu, Mohd Shukrie berkata, pihaknya melakukan proses sanitasi sebanyak lapan kali sehari termasuk menggunakan bahan pencuci kuman berkualiti di tandas di semua 39 lapangan terbang bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang.
Beliau juga berkata, ketika ini hanya kira-kira 30 peratus penumpang menggunakan lapangan terbang berikutan pandemik Covid-19 dan dijangka berkurangan antara 10 hingga 15 peratus lagi jika kerajaan membuat keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, Zambry dalam ucapannya berkata, seramai 925 murid dan pelajar kurang berkemampuan di Parlimen Lumut menerima sumbangan berupa barangan kelengkapan persekolahan menerusi Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES hari ini dengan keseluruhan bernilai RM125,000. -K! ONLINE