PASUKAN Kuala Lumpur Thunder mengambil langkah berhati-hati apabila memulakan aksi pertama mereka dalam saingan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) selepas dijadualkan berdepan juara bertahan, Johor Tigris di Iskandar Malaysia Studios, Johor Darul Takzim malam ini.
Turun dengan status juara STL musim ini, selain berdepan Johor Tigris, KL Thunder yang di undi dalam Kumpulan A turut berdepan naib juara daripada saingan Divisyen 1, Bomba Fighters dan Putrajaya Cyborg.
Ketua jurulatih KL Thunders, Azhar Sarabini berkata, pihaknya yakin pasukannya tidak akan berdepan laluan mudah ketika berdepan Johor Tigris apabila sebelum ini mereka hanya meraih kemenangan tipis ketika berdepan pasukan itu.
“Saya akui Johor telah melakukan persiapan yang agak rapi dan sudah pasti kelebihan menjadi milik mereka. Meskipun kita pernah meraih kemenangan ke atas mereka, namun perlu diingat kerana Johor juga pernah menumbangkan KL sebelum ini.
“Kini kedudukan seri 1-1 dan saya harap pemain lebih waspada ketika bertemu Johor nanti. Saya yakin perlawanan pasti sengit dan kami tidak boleh memandang mudah,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Azhar turut mengingatkan kepada anak-anak buahnya agar tidak meremehkan saingan kali ini biarpun hanya berdepan Bomba Fighters dan Putrajaya Cyborg.
“Memang sasaran utama kami adalah untuk buru kejuaraan kedua dalam saingan STL musim ini tetapi KL Thunder tetap menghormati semua pasukan.
“Kami tidak memandang rendah keupayaan pasukan lain kerana mereka mampu melakar kejutan,” ujarnya.