fbpx

Kerana cemburu, pelajar dipercayai bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT pelajar berusia 21 tahun berkenaan ditemui beberapa rakannya dalam keadaan terbaring di atas tanah di belakang blok kediaman asrama mereka.

MELAKA – Gara-gara mengesyaki teman lelakinya menjalinkan hubungan lain, seorang pelajar wanita sebuah universiti swasta bertindak luar jangkaan apabila dipercayai terjun dari tingkat 18 sebelum ditemui maut di pangsapuri di Bukit Beruang di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mayat pelajar berusia 21 tahun berkenaan ditemui beberapa rakannya dalam keadaan terbaring di atas tanah di belakang blok kediaman asrama mereka.

Kejadian itu dikatakan berpunca selepas mangsa mengesyaki teman lelakinya menjalinkan hubungan cinta dengan wanita lain.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, hasil soal siasat dengan rakan-rakannya, sebelum kejadian mangsa dikatakan ada meluahkan perasaan dan berbincang mengenai hubungannya dengan lelaki tersebut.

“Maklumat awal, rakan-rakannya memberitahu mangsa ada meluahkan perasaan mengenai hubungannya dengan teman lelaki kira-kira pukul 10 malam.

“Bagaimanapun ketika berbincang, keadaan menjadi tegang apabila mangsa mengesyaki teman lelakinya mempunyai hubungan dengan wanita lain sebelum tiba-tiba berlari keluar dari rumah pada pukul 1 pagi,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, bimbang dengan keadaannya, rakan-rakannya terus keluar mencari mangsa di sekitar kawasan penginapan universiti dan menjumpai mayat pelajar itu di belakang Blok D pangsapuri terbabit.

“Hasil pemeriksaan di setiap tingkat Block D, kita berjaya menemui sepasang selipar dan cermin mata di atas lantai tembok berhampiran tangga di tingkat 18 blok berkenaan.

“Kita percaya mangsa telah bertindak terjun dari tingkat 18 pangsapuri berkenaan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI