SHAH ALAM – Tiada kesan penderaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang tular dijumpai berseorangan berhampiran Setia Taipan, Setia Alam yang didakwa didera ibu bapanya, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol berkata, hasil semakan mendapati kanak-kanak berusia sembilan tahun itu membawa beg pakaian dengan menaiki basikal cuba mencari rumah neneknya di Klang.
Katanya, kanak-kanak itu ditemui kira-kira pukul 4 petang dan diserahkan kepada polis bantuan sebelum dibawa ke balai polis Setia Alam.
“Tiada kesan penderaan pada tubuh badan kanak-kanak itu dengan kedua ibu bapanya telah hadir dan mengambil mangsa pukul 6.45 petang hari sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, pihaknya akan merakam keterangan ibu bapa mangsa sebaik mereka membuat laporan polis.
“Kita juga akan memanggil individu yang membuat rakaman berhubung insiden itu bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tular seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang mendakwa dihalau ibu bapanya sendiri ditemui sekitar jalan raya di Setia Alam di sini, semalam.
Kanak-kanak berkenaan yang ditemui pukul 3.30 petang itu berbasikal menuju rumah neneknya di Batu Belah, Klang mendakwa menyatakan kerap dimarahi dan didera oleh ibu bapanya sebelum nekad keluar daripada rumahnya. – K! ONLINE