JAKARTA – Usaha pencarian pesawat Sriwijaya Air SJ182 memasuki episod baharu dengan penemuan jaket keselamatan dan sisa serpihan dipercayai milik kapal terbang berkenaan yang dilaporkan terhempas ke laut semalam.
Portal berita detik.com sebentar tadi melaporkan barangan itu ditemui pasukan penyelam Komando Pasukan Katak (Kopaska) Angkatan Laut Tentera Kebangsaan Indonesia (TNI AL).
“Seperti saya beritahu pagi tadi di kawasan dermaga, KRI Gigel sudah menemui isyarat dan selepas melakukan selaman, pasukan Kopaska sudah menjumpai beberapa serpihan milik pesawat itu.
“Ada bukti jaket keselamatan dan (serpihan) warna pesawat termasuk bahagian nombor pendaftarannnya,” kata Panglima TNI Marsyal Hadi Tjahjanto semasa berada di atas kapal KRI John Lie hari ini.
BACA>> Cebisan daging dipercayai milik penumpang Sriwijaya Air ditemui di laut
Hadi menyatakan pasukan penyelam juga menemui bahagian serpihan badan warna dan nombor pendataran pesawat. Serpihan itu ditemui pada kedalaman 23 meter.
“Barangan ini ditemui dari kedalaman 23 meter,” kata Hadi.
Beliau mengesahkan jarak pandang di bawah air adalah amat baik buat masa ini dan berharap proses membawa keluar dapat dijalankan secepat mungkin.
“Kami terima laporan daripada pasukan penyelam bahawa jarak penglihatan bawah air adalah jelas cukup jelas,” tutur Hadi. – AGENSI