JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini kekal seramai 479 orang yang ditempatkan di sembilan buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka setakat pukul 8 pagi, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah mangsa tidak berubah berbanding yang direkodkan malam semalam.
Jelasnya, setakat ini hanya tiga buah daerah masih terjejas akibat banjir iaitu Kota Tinggi, Mersing dan Segamat.
“Mersing menempatkan seramai 320 mangsa di lima buah PPS yang dibuka, manakala Segamat menempatkan seramai 94 mangsa di tiga buah PPS yang dibuka.
“Sementara itu, hanya seramai 65 mangsa masih ditempatkan di satu PPS yang masih dibuka di Kota Tinggi setakat pukul 8 pagi, hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, Jabatan Meterologi Malaysia turut menjangkakan hujan lebat akan berterusan di daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing.
“Sementara itu beberapa daerah lain berada dalam kategori waspada dengan hujan turut dijangka berlaku hari ini.
“Setakat pukul 8 pagi hari ini juga, dua jalan masih ditutup kepada pengguna iaitu Jalan Tanah Abang di Mersing dan Jalan Haji Suhud di Johor Bahru,” ujarnya.
Vidyananthan turut memberitahu, masyarakat juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ekoran negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 ketika ini.-K! ONLINE