MELBOURNE – Bintang tenis No.2 dunia, Simona Halep melakukan persediaan mental untuk menghadapi Kejohanan Grand Slam pertama 2021 di Terbuka Australia apabila akan menjalani kuarantin selama dua minggu di negara tersebut.
Australia mengeluarkan arahan ketat kepada kemasukan pelancong di negara itu termasuk pemain-pemain yang menyertai Terbuka Australia untuk menjalani proses kuarantin selama 14 hari dan jika gagal pemain tersebut boleh dihalau keluar serta merta.
Bagaimanapun, Halep yakin sesi kuarantin yang dilaluinya sebelum ini memberinya pengalaman untuk dia berdepan situasi yang sama di Australia nanti bagi berdepan saingan yang akan membuka tirai pada 8 hingga 21 Februari ini.
Tahun lalu, Halep membuat keputusan menarik diri dari Terbuka Amerika Syarikat akibat kebimbangan mengenai pandemik Covid-19, namun selepas itu dia disahkan positif wabak berkenaan Oktober tahun lalu.
“Saya tahu akan berdepan tekanan dalam tempoh 14 hari sesi kuarantin tersebut, namun dengan pengalaman 2020 ia akan membantu saya terutama dari segi emosi dan sebagainya.
“Saya juga bersyukur kerana mampu menjalani latihan lima jam sehari ketika sesi kuarantin. Saya juga kurang tertekan kerana tahu kerajaan Australia mengawal penularan Covid-19 dengan baik, sekali gus menjadikan saingan ini lebih selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Halep berharap dia mampu melakukan aksi terbaik, sekali gus melangkah ke pentas final dan seterusnya meraih gelaran tersebut di Australia.
“Saya bekerja keras terutama dalam aspek kecergasan. Saya tidak mahu turun dengan aksi longlai dan mahu kekal aktif hingga penghujung perlawanan,” tambahnya. – AGENSI