RANTAU PANJANG – Orang ramai yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) diingatkan supaya terus menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan tercetusnya kluster banjir ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mahu aspek tersebut berikan perhatian khusus oleh semua mangsa-mangsa banjir.
“Saya lihat aspek penjarakan fizinal perlu ditambah baik khususnya ketika berada di luar khemah keluarga.
“Dalam khemah-khemah keluarga masih boleh dipertimbangkan kerana mereka dari rumah yang sama. Itu tidak menjadi satu masalah,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang 2 di sini hari ini.
Ismail memberitahu, setakat ini, beliau berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di PPS.
Katanya, setiap PPS yang dilawatinya menyediakan kelengkapan dengan baik seperti mesin pengimbas suhu, penggunaan aplikasi MySejahtera dan pematuhan kepada pemakain pelitup separuh muka.
“Bukan itu sahaja, cara penyediaan makanan kepada penduduk terjejas turut dilakukan mengikut SOP iaitu dibungkus,” ujarnya.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau berharap orang ramai terus mengamalkan pematuhan SOP sepanjang musim banjir.
Katanya, hal ini bagi memastikan rantaian Covid-19 berjaya diputuskan. – K! ONLINE