PORT DICKSON – Kutip daun kering pun boleh jadi duit.
Itu yang dilakukan oleh seorang lelaki yang mengutip daun kering pokok ketapang sebelum diproses untuk dijual kepada peminat ikan laga bagi mengekalkan kesihatan hidupan tersebut.
Jalani Ibrahim, 38, berkata, dia mula mengutip daun ketapang kering yang mudah didapati di tepi pantai Port Dickson sejak empat bulan lalu.
“Pada mula kawan ada tegur mengatakan saya pelik kerana mengutip daun kering. Namun selepas diberitahu khasiatnya kepada ikan laga baru mereka faham mengapa saya berbuat demikian.
“Tiada modal diperlukan dan saya hanya ambil sedikit masa pada waktu petang untuk mengutip daun kering itu untuk diproses dan dijual,” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui di rumahnya di Taman Intan Duyung, Batu 4 dekat sini baru-baru ini.
Tambahnya, dia boleh mendapat untung sebanyak RM2 bagi setiap 23 keping daun kering yang siap dibungkus.
Menurut Jalani, selalunya dia akan mengutip dua beg plastik berisi daun itu dan setiap satunya boleh menghasilkan 10 pek daun kering ketapang.
“Walaupun untungnya tidaklah besar tetapi saya rasa ia berbaloi kerana saya hanya mengeluarkan wang untuk membeli garam bagi tujuan memproses daun kering itu,” katanya.
Ujar Jalani, daun itu memang dicari-cari oleh peminat ikan laga kerana spesies itu akan menjadi lebih sihat jika daun itu diletakkan ke dalam balang atau akuarium.
“Daun ketapang yang diproses ini boleh merawat ikan laga yang sakit, menaikkan warna ikan, bagi cepat sihat dan agresif serta mengawal suhu air,” katanya yang turut memelihara sebanyak 200 ekor ikan laga di rumahnya.-K! ONLINE