PUTRAJAYA – Situasi pembelian panik yang dikatakan berlaku di beberapa kawasan di negara ini tidak sepatutnya berlaku kerana bekalan barangan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi.
Itu jaminan yang diberikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum situasi pembelian panik yang mungkin berlaku berikutan pengumuman khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok mengenai tindakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, hasil pemantauan yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa setiap hari mendapati semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa.
“Ini menyumbang kepada kestabilan dan keberadaan barangan keperluan di dalam pasaran.
“Keadaan ini berbeza ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu di mana kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran,” katanya.
Alexander berkata, kementerian sentiasa memantau keberadaan barangan keperluan pengguna di seluruh negara secara harian
bagi memastikan barangan sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi di pasaran.
Katanya, ini sekali gus mampu menampung keperluan pengguna secara berterusan.
“Antara barangan yang dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka,” katanya.
Alexander berkata, pemantauan 12 barang keperluan itu membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR), 1,039 Pemborong Terpilih Daerah (DDW), 223 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) merangkumi 222 Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Justeru, beliau sekali lagi menegaskan bahawa situasi bekalan barangan di dalam pasaran adalah terkawal dan rakyat dinasihatkan untuk mengelakkan melakukan pembelian panik.
“Ini kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran,” katanya.
Tambahnya, kesemua anggota penguat kuasa di seluruh negeri juga akan terus giat melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus terjamin buat semua pengguna. -K! ONLINE