Minggu lalu, banyak juga video TikTok yang Diva tonton dan salah satunya ialah video gelek Uyaina Arshad.
Video berkenaan memaparkan Uyaina yang memakai baju berwarna biru bukan main seronok menari tarian Bollywood.
Lincah betul aksinya, persis penari profesional malah Diva pun turut terhibur dan terasa hendak menggoyangkan badan ketika menontonnya.
Bagaimanapun, disebabkan Uyaina seorang wanita bertudung, pastilah apa yang dilakukannya itu mengundang buah mulut netizen.
Ramai yang berpendapat tidak manis anak dara berhijab menari bergelek tergedik-gedik tayang badan depan hadapan khalayak umum khususnya dalam media sosial.
Ada juga yang mengatakan tindakan Uyaina itu seperti menjatuhkan martabat wanita Islam yang terkenal dengan sifat lemah-lembut dan tidak melakukan perkara menjatuhkan maruah sendiri. Berat juga tuduhan itu.
Memang bertimpa-timpa mesej berunsur nasihat dan kecaman yang diterima pengacara Wanita Hari Ini itu.
Disebabkan semua komen negatif tersebut, Uyaina bertindak memadam video tarian berkenaan dalam semua media sosial miliknya bagi mengelakkan fitnah.
Elok juga tindakan Uyaina itu. Tak mengapalah, jika hendak buat video menari lagi, simpan sahaja untuk tatapan diri sendiri, netizen sekarang pantang kena dijolok!
DIVA: Semakin kurus tubuh badan Sufian Suhaimi. Harap bukan kerana penyakit atau putus cinta.