MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola sudah bersedia menurunkan Sergio Aguero buat kali pertama dalam kesebelasan utama menjelang pusingan ketiga Piala FA menentang Birmingham City di Stadium Etihad malam ini.
Aguero, 32, diletakkan sebagai pemain simpanan dalam lima perlawanan sejak disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan hamstring yang dialami pada Oktober lalu.
Justeru, Guardiola, 49, mengharapkan Aguero yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman City dengan 256 gol, dapat kembali menemui sentuhan terbaiknya selepas ini.
“Aguero seorang pemain yang unik dan kehadirannya amat penting buat kami. Saya gembira selepas mendapat berita keadaan lututnya sudah pulih dan dia telah membuktikannya sepanjang 10 hari sesi latihan terakhir.
“Dia akan memulakan perlawanan menentang Birmingham. Saya berharap dia dapat bermain 90 minit penuh permainan tetapi saya tetap berpuas hati walaupun ia sekadar 30 atau 60 minit perlawanan,” katanya.
Ia sememangnya perkhabaran gembira buat City untuk menguatkan jentera serangan pasukan itu sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris ketika ini iaitu tempat kelima.
Kepulangan bintang skuad antarabangsa Argentina itu secara tidak langsung meredakan tekanan dipikul Raheem Sterling di bahagian serangan menggantikan tempat seorang lagi penyerang City, Gabriel Jesus yang positif Covid-19. – AGENSI