KLANG – Kerja-kerja menampal jalan berlubang dan rosak tidak mampu menahan beban terutama apabila kerap dilalui oleh kenderaan berat yang membawa lebih muatan.
Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Klang, Ir. Syaharidanisman Mohd. Johanis sebaliknya berkata, jalan yang rosak perlu penambahbaikan menyeluruh berdasarkan punca kerosakan dan struktur tanah setempat.
Katanya, kebanyakan punca kerosakan jalan di sekitar daerah ini disebabkan oleh aktiviti pelabuhan, perindustrian dan pemajuan sesuatu kawasan.
“Kerosakan jalan disumbang daripada jumlah kenderaan berat dan muatan berlebihan.
“Penyelenggaraan memang ada dibuat tetapi terhad kepada rutin biasa sahaja yang tidak dapat bertahan lama dalam kondisi struktur turapan sedia ada yang kebanyakannya telah melebihi jangka hayat,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, struktur asas iaitu keadaan tanah yang lemah di Klang turut menyumbang kerosakan jalan.
Dakwa Syaharidanisman, peruntukan penyelengggaran juga didapati semakin mengecil.
Sementara itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir. Izham Hashim memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan semua agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan berkaitan isu kenderaan berat membawa lebih muatan di negeri ini.
Kata beliau, masalah jalan rosak dan berlubang bukan isu baharu kerana ribuan aduan diterima pada setiap bulan.
“Langkah menampal jalan yang kerosakan strukturnya tidak akan bertahan lama.
“Selain itu, kerja korekan jalan oleh pihak utiliti yang gagal ditampal dengan baik juga menjadi punca kerosakan jalan kerap berlaku,” katanya.