KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperjelaskan dan membuat penerangan terperinci mengenai isu pembukaan semula sekolah yang dijadualkan bermula 20 Januari ini pada minggu depan.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya perlu menunggu pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 terlebih dahulu.
Sehubungan itu, beliau enggan mengesahkan sama ada sesi persekolahan akan diteruskan mengikut jadual atau perlu ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.
“Komitmen kita (KPM) adalah untuk sekolah dibuka, tetapi masih perlu mengambil kira perkembangan semasa. Penjelasan lanjut secara terperinci akan saya buat sejurus pengumuman Perdana Menteri pada Isnin ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini tadi. -K! ONLINE