ALOR GAJAH – Tindakan segelintir pemimpin tertinggi negara mendesak agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat secara terang-terangan menunjukkan kepentingan rakyat telah diketepikan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, isu pilihan raya tidak sepatutnya dibahaskan di saat rakyat bergelut dalam memerangi Covid-19 dan bencana lain.
Katanya, tindakan segelintir pemimpin yang mendesak untuk pilihan raya diadakan hanya menunjukkan sikap mementingkan diri, sekali gus mengetepikan kepentingan rakyat.
“Pemimpin perlu menstabilkan urus tadbir negara khususnya dalam memerangi Covid-19 dan bencana banjir dan bukannya berbahas untuk mengadakan pilihan raya.
“Segelintir mereka (pemimpin) yang mahu pilihan raya segera diadakan adalah kerana mahu melepaskan diri dari tindakan undang-undang, namun ia akan tetap dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Khatan Perdana 5.0 “Etno-Sains Bertanjak” di Anggerik Malaysia, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya pilihan raya terus dipolitikkan, negara ini akan terus tersekat pada kedudukan semasa dan tidak akan maju.
“Kalau mereka politikkan hal ini (pilihan raya), susahlah (negara) nak maju ke depan sebab kita dah nampak pada hari ini orang (rakyat) melihat di sekeliling kita,” katanya. -K! ONLINE