BEIJING – Sebuah syarikat di China dikecam orang ramai kerana mendenda pekerjanya yang menggunakan tandas lebih daripada sekali dalam sehari, lapor portal berita odditycentral.com.
Syarikat Anpu Electric Science and Technology yang berpusat di Dongguan, wilayah Guangdong mengaku menguatkuasakan peraturan sekali ke tandas sehari dan mengenakan denda 20 yuan (RM12.50) terhadap pekerja yang ingkar.
Beberapa pekerja yang tidak berpuas hati dengan peraturan itu memuat naik polisi syarikat di media sosial.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya tujuh pekerja telah didenda pada 20 dan 21 Disember 2020.
Orang ramai mengecam peraturan tersebut tetapi pihak pengurusan syarikat menjelaskan, keputusan itu dibuat kerana ramai kakitangan menggunakan tandas untuk menghisap rokok serta curi tulang.
“Hakikatnya, ramai pekerja malas menjalankan tugas,” kata pihak syarikat.
Pengurusan syarikat itu telah menasihati pekerjanya tetapi gagal mendapat hasil positif,” kata seorang pengurus syarikat yang hanya dikenali sebagai Cao kepada stesen penyiaran, Guangdong TV.
Katanya, peraturan sekali ke tandas itu lebih baik daripada tindakan memecat pekerja ekoran majikan juga sukar mendapatkan pekerja baharu.
Pekerja yang ingkar tidak diminta membayar 20 yuan tetapi denda itu ditolak daripada bonus bulanan masing-masing.
Pekerja yang mahu ke tandas lebih sekali perlu memaklumkan kepada penyelia. – Agensi