TOKYO – Nasib penganjuran temasya Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung pada 23 Julai depan ibarat telur di hujung tanduk selepas kerajaan Jepun mengisytiharkan darurat selama satu bulan bermula semalam berikutan peningkatan kes Covid-19 yang dilihat semakin tidak terkawal.
Menteri Ekonomi, Yasutoshi Nishimura berkata, pengisytiharan darurat berkenaan akan berkuat kuasa 8 Januari hingga 7 Februari dan sekatan itu sebagai langkah untuk memerangi penularan wabak pembunuh tersebut di seluruh Jepun.
Walaupun penularan wabak berkenaan tidak serius berbanding negara lain, Jepun menyaksikan jangkitan baharu harian meningkat untuk pertama kalinya apabila 1,591 ujian didapati positif di ibu negara, Tokyo.
Kini, nasib penganjuran Sukan Olimpik Tokyo yang akan diadakan dalam tempoh kurang dari 200 hari berdepan ancaman pembatalan atau ditangguhkan sekali lagi.
Bagaimanapun, penganjur temasya sukan tersebut mengakui langkah itu adalah terbaik sebelum kejohanan bermula dalam memastikan saingan sukan itu dapat diadakan dalam keadaan selamat.
“Pengumuman darurat tersebut menawarkan peluang bagi Tokyo 2020 untuk merancang sukan yang selamat dan terjamin pada musim panas ini nanti,” kata penganjur.
Anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Dick Pound mengakui tidak pasti sama ada Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan diadakan pada tarikh ditetapkan ketika terdapat peningkatan kes Covid-19 di Jepun.
“Saya tidak pasti mengenai penganjuran Sukan Olimpik Tokyo akan tetap diadakan jika terdapat peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara itu,” kata Pound semalam. – AGENSI