JOHOR BAHRU – Situasi banjir di negeri ini semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di lima buah daerah terjejas menurun kepada 1,207 mangsa setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah yang direkodkan sehingga 8 pagi tadi melibatkan 305 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS yang masih beroperasi.
Katanya, daerah yang terjejas disebabkan ini melibatkan Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Kluang merekodkan jumlah tertinggi mangsa banjir setakat ini dengan seramai 578 mangsa dari Kampung Sri Lukut dan Kampung Contoh yang dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Kahang (SK) Batu 28 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang.
“Sementara itu, di Mersing, seramai 320 mangsa banjir daripada 85 keluarga ditempatkan di lima PPS di daerah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi terus mencatatkan penurunan kepada 148 mangsa daripada 35 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.
Jumlah mangsa banjir di Segamat pula tidak berubah sejak kelmarin dengan 89 mangsa daripada 24 keluarga.
Manakala situasi sama turut berlaku di Johor Bahru apabila mangsa banjir di daerah ini kekal dengan 72 mangsa banjir daripada 24 keluarga yang dipindahkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang.
Sehingga kini, hanya terdapat dua jalan yang masih ditutup iaitu Jalan Tanah Abang di Mersing dan Jalan Haji Suhud di Taman Muhibbah, Johor Bahru.
Katanya, tiada dilaporkan korban banjir terbaharu di negeri ini menjadikan angka kematian kekal melibatkan tiga individu berusia lingkungan 20 hingga 61 tahun bagi kes di Kluang.-K! ONLINE